Begitulah Manusia
Jari ini terasa ingin menaip. Aku teringin menulis tentang perasaanku dan diriku. Apakah yang kurasakan sebenarnya? Kenapa dengan hati ini? Kadang kala aku rasa dekat dengan Allah dan kadang kala terasa jauh. Aku leka dengan dunia.
Adakah salah aku mengejar dunia, cara aku yang salah ataupun sememangnya diriku ini bersalah? Aku ingin mendalami agama yang indah dan suci ini. Aku berharap agar ada insan yang dititipkan oleh Allah untuk mengajar dan membawaku ke jalan yang selama ini aku cari.
Aku tahu setiap manusia di muka bumi Allah yang luas ini tiada yang sempurna. Aku tahu kelemahanku iaitu diriku sendiri. Kekadang aku rasa betapa sukarnya untuk melawan nafsuku sendiri. Aku rasakan keperitannya. Sering kali aku bertanyakan kepada diri, “Mengapa aku lakukan perkara itu sedangkan aku tahu perkara itu salah?”.
Aku musykil dengan diriku sendiri. Aku seperti tidak mengenali diri ini. Aku ingin sekali memahami diriku tapi mengapa terasa sukar dan berat untuk aku lakukan? Mengapa? Soalan yang patut aku ajukan kepada diriku sendiri. Aku harus mencari jalan untuk memperbaiki diri ini dan mengubati hati ini. Hati kerasku ini perlukan penawar. Syaitan dan nafsu sentiasa ada untuk menghasut tetapi diriku ini mempunyai pilihan sama ada untuk melawan ataupun menurut.
Diri ingatlah bahawa engkau sentiasa diperhatikan oleh Yang Maha Esa. Ujian yang hadir untuk mematangkan kehidupan tidak kira ujian itu dalam bentuk kesenangan atau kesusahan. Ujian itu juga hadir dengan kehendak-Nya untuk menghapus dosa, menambahkan pahala atas kesabaran yang engkau berikan, mungkin juga untuk memberikan peringatan atau balasan atas perbuatan engkau sendiri.
Diri kita sendiri perlu beringat. Dunia ini SEMENTARA. Dunia ini cuma tempat persinggahan untuk mencari bekalan. Beruntunglah bagi sesiapa yang mendapat kebahagian di dunia dan di akhirat. Bersyukurlah kita dengan segala pemberian-Nya.
*Peringatan buat diri dan buat semua
-AnugerahTerindah
Ulasan
Catat Ulasan